Vaksinasi kanak-kanak Brunei bermula

BERAKAS 2 April – Program vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun bermula hari ini dengan 666 orang telah mendapatkan dos berkenaan setakat pukul 2 petang ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, vaksinasi yang bertujuan melindungi kanak-kanak itu adalah secara sukarela dan berdasarkan persetujuan ibu bapa atau penjaga.

Beliau menjelaskan, pengambilan vaksin untuk kanak-kanak bukan syarat kemasukan sesi persekolahan atau memasuki premis tertentu.

Sementara itu, Brunei Darussalam menambah jumlah kes harian dengan merekodkan 515 kes hari ini berbanding 503 semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 135,430.

Menurut Dr Md Isham, tiga kematian direkodkan hari ini, bagaimanapun hanya satu dikategorikan sebagai kematian akibat Covid-19 manakala dua lagi tiada kaitan menjadikan jumlah keseluruhan 94 orang meninggal dunia.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19, di sini beliau

berkata, tiada kes dalam kategori 4 direkodkan manakala terdapat satu kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan intensif.

Beliau berkata, daripada 515 kes baharu, sebanyak 444 adalah hasil Ujian ART yang telah dimuatnaikkan ke aplikasi BruHealth.

Sebanyak 71 lagi adalah dari 1,439 hasil Ujian Makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Beliau juga memaklumkan, 847 kes disahkan sembuh pada hari ini, yang membawa kepada jumlah pesakit pulih 131,097 manakala jumlah kes aktif sebanyak 4,120.

Sebanyak 75 kes aktif sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 4,045/ kes positif, kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat semalam, sebanyak 61.6 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin.

Related posts

Leave a Comment