39 ahli Parlimen lompat parti

KUCHING 2 April – Seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti sejak 2018 hingga kini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, tindakan melompat parti juga telah membawa kepada ketidakstabilan politik malah negara telah menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal parlimen.

“Ini tidak mendatangkan kestabilan politik di negara kita, apabila politik tidak stabil maka ekonomi juga sukar dijaga dan semasa kita berhadapan dengan Covid-19 ini (ketidakstabilan) jadi masalah besar,” katanya selepas menghadiri taklimat Projek Benteng Muara Tebas di Dewan Kampung Muara Tebas, hari ini.

Justeru Wan Junaidi menjelaskan kerajaan telah merangka Rang Undang-Undang Antilompat Parti 2022 yang mengambil masa selama lima bulan.

“Pada peringkat ini ada tidak bersetuju dan ada yang bersetuju (dengan RUU terbabit) tapi jika Jemaah Menteri bersetuju pada 6 (April) nanti, satu persidangan khas telah ditetapkan pada 11 April (ini) bagi kita bahaskan RUU itu,” katanya.

Wan Junaidi pada 24 Mac memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu yang akan diadakan pada 11 April ini.

Related posts

Leave a Comment