PM Singapura hargai kecekalan

SINGAPURA 3 April – Perdana Menteri Lee Hsien Loong menghargai kerjasama dan kecekalan masyarakat Melayu/Islam dalam usaha melawan Covid-19 dalam tempoh dua tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh itu, masyarakat Islam terpaksa menyesuaikan diri dengan sekatan-sekatan Covid-19, dari penutupan masjid hingga ke bilangan jemaah yang terpaksa dihadkan.

Lee yang sedang melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat turut mengucapkan ‘Selamat menjalani ibadah puasa’ kepada seluruh umat Islam di Singapura.

Beliau juga melahirkan penghargaannya kepada para pemimpin masyarakat, asatizah serta masjid-masjid kerana sabar dan cekal mematuhi peraturan untuk sama-sama mengekang penularan virus tersebut.

Dengan pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) baru-baru ini, Lee berharap sambutan Ramadan tahun ini akan lebih meriah lagi.

“Orang ramai juga boleh mengunjungi bazar-bazar Ramadan di Geylang Serai dan Kampong Gelam seperti sebelum wabak Covid-19 melanda, “ kata Lee dalam catatan Facebooknya.

Katanya, kerja keras dan pengorbanan itu ternyata membuahkan hasil.

“Kita belum lagi tiba di garisan penamat, walaupun kita sudah semakin hampir. Marilah kita bersatu padu. Bersama, kita mampu mengatasi Covid-19 dan bangkit dengan lebih kukuh,” kata Lee.

Related posts

Leave a Comment