7 aktivis jadi jurucakap Bersama

SEPANG 12 Ogos  – Menjelang Hari Merdeka 2026, Bersama akan mula menerbitkan satu siri kertas dasar, dinamakan Kertas Kancil yang akan memperincikan 12 Agenda Bersama dengan mendalam untuk mencambahkan diskusi dalam masyarakat.

Bersama dalam satu kenyataan berkata, diskusi dalam masyarakat itu adalah mengenai langkah, dasar, akta-akta dan bentuk program yang perlu dilaksanakan untuk mencapai keberhasilan di dalam Agenda Bersama.

Menurut kenyataan bersama oleh Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab, perincian mengenai proses, rundingan terbuka dan forum-forum untuk membincangkan cadangan di dalam setiap Kertas Kancil akan diumumkan kelak.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada ahli-ahli B yang telah tampil memikul tanggungjawab menggerakkan parti sejak dilancarkan semula hampir tiga bulan lepas.

Bersama sedang memasuki fasa berkembang yang seterusnya, yang memerlukan lebih ramai pimpinan pelapis untuk menguruskan dan menggerakkan parti,” kata kenyataan itu.

Berikutan itu, Bersama dari masa ke semasa akan menamakan penggerak dan tokoh sama ada sebagai Jurucakap Bersama, Calon Bayangan Bersama dan Penggerak Bersama mengikut bidang masing-masing.

Langkah itu bagi mengukuhkan lapisan pengurusan parti, ke arah satu pemilihan parti untuk memilih barisan kepimpinan baru Bersama.

“Proses ini akan dimulakan dengan pindaan Perlembagaan Bersama yang kini sedang diuruskan, selari dengan keperluan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga mengumumkan kumpulan pertama tujuh orang Jurucakap Bersama iaitu Sum Dek Joe, ahli ekonomi yang bertugas di ASEAN+3 Macroeconomic Research Office, Fiscal Surveillance Group (Singapura) sehingga bulan lepas.

Sebelum itu beliau bertugas di Asian Development Bank (ADB) sebagai penasihat ekonomi makro, perunding ekonomi kepada kerajaan Papua New Guinea dan pensyarah di ANU.

Beliau akan mengendalikan persediaan kertas-kertas Kancil bersama-sama pemikir yang lain.

Ibrahim Sani pula, seorang akauntan profesional dan memulakan kerjaya di sektor perbankan korporat, sebelum menjadi personaliti media di Astro Awani dan BFM.

Sebelum ini, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju yang bertanggungjawab mengendalikan program-program profesional untuk bakat Bumiputra.

Turut sama adalah Wan Zulaika Abdul Kahar, seorang akauntan yang pernah bertugas sebagai pengurus di firma-firma besar negara termasuk KPMG, Petronas dan Sime Darby.

Beliau telah lama membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan politik di kalangan aktivis wanita muda.

Jhen Pei Seah pula, lulusan ijazah kelas pertama dalam kejuruteraan dari University of Nottingham (UK), jurutera geoteknikal yang pernah terbabit dalam projek-projek besar seperti KVMRT Line 2, WCE dan lain-lain.

Beliau juga membabitkan diri dengan kerja-kerja pembangunan dasar bersama-sama beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Seorang lagi jurucakap adalah Anbarasan Murugesu, ahli Majlis Bandar Raya Subang Jaya di antara 2015 hingga 2026 dan bekas Ketua Whip MBSJ di antara tahun 2020 hingga 2026.

Turut sama Tang Hong Yau, lulusan undang-undang dari Universiti Malaya, personaliti media Mandarin yang pernah menjadi wartawan multimedia dengan 8TV dan BFM.

Beliau kini mengendalikan podcast Mandarin, selain dari menubuhkan Got Point Education Centre, sebuah pusat latihan berbahasa Mandarin di Petaling Jaya.

Seorang lagi, Rabiatul Adawiyah Sulaiman, lulusan undang-undang dari UiTM, yang telah membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti politik wanita muda dan kegiatan kemasyarakatan sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment