Wong Chen tinggalkan PKR sertai Bersama

PUCHONG 12 Ogos – Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkuat kuasa hari ini.

Pengasas Bersama, Rafizi Ramli mengumumkan penyertaan Wong Chen pada sidang media di Ibu Pejabat Bersama di sini, hari ini.

Wong Chen mengesahkan peletakan jawatan secara sukarela sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa kelmarin (10 Ogos 2026)

Perkembangan itu sekali gus menandakan berakhirnya khidmat Wong Chen sebagai wakil rakyat Subang selepas beberapa penggal bersama PKR.

Sementara itu, Wong Chen dalam sidang media memohon maaf kepada rakyat khususnya di kawasan Parlimen Subang kerana memilih untuk meletakkan jawatan setahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau menjelaskan permohonan maaf itu bukan kerana keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat, sebaliknya kerana tidak menunggu tempoh PRU akan datang.

“Ini adalah keputusan yang saya buat secara sedar. Saya memohon maaf kerana tidak berkhidmat untuk tempoh setahun lagi, enam bulan lagi atau tiga bulan lagi kerana kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan.

“Saya sudah menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dengan penuh tanggungjawab. Kini, saya perlu melaksanakan bahagian kedua iaitu mempertahankan demokrasi dan memperjuangkan reformasi.

“Saya melihat saluran untuk melakukan perkara itu adalah dengan menjadi anggota parti Bersama,” katanya.

Wong Chen berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan itu didorong oleh tanggungjawab untuk mempertahankan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai sama ada akan bertanding semula di bawah payung Bersama, Wong Chen berkata, ia terpulang kepada keputusan parti.

“Sama ada saya akan bertanding semula di Subang pada pilihan raya akan datang, itu terpulang kepada Bersama. Namun, sudah tentu saya akan terus bekerja di Subang.

“Saya juga akan membuka pejabat di Subang. Ada proses untuk menurunkan semua papan tanda, tetapi saya mahu memberi jaminan kepada penduduk bahawa saya masih berada di sini. Saya masih Wong Chen yang mereka kenal,” katanya.

Wong Chen berkata, beliau benar-benar perlu turun padang untuk menjelaskan kepada masyarakat dan memohon maaf kerana mengecewakan mereka.

“Masih ramai yang marah, tetapi berdasarkan komen di Facebook dan media sosial saya, kira-kira 80 hingga 90 peratus memberikan reaksi positif (susulan peletakan jawatan),” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment