Perak rapatkan saf mulai 1 April

IPOH 23 Mac – Bermula 1 April ini, semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan merapatkan saf solat berjemaah mengikuti keluasan ruang sebenar selaras dengan permulaan Fasa Peralihan Endemik di seluruh negara pada tarikh berkenaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, solat fardu, Solat Jumaat, dan solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal antara jemaah, dan bilangan jemaah yang dibenarkan ialah mengikuti keluasan ruang masjid atau surau,

Bermula tarikh itu juga, Sultan Nazrin bertitah, solat Jumaat hanya boleh dilaksanakan di masjid atau surau diri Jumaat (SDJ).

Bagaimanapun budi bicara masih diberikan terhadap pihak sekolah asrama penuh, sekolah, dan pusat pengajian untuk mengadakan solat Jumaat dalam surau, bangunan, atau kawasan institusi berkenaan demi melindungi keselamatan pelajar.

Baginda bertitah demikian sempena sesi Sembah Taklimat Aktiviti Masjid dan Surau di Perak sempena fasa peralihan ke endemik di Bilik Gerakan, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Mengenai aktiviti pengimarahan di bulan Ramadan, Sultan Nazrin bertitah, jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat Solat Tarawih yang difikirkan munasabah.

Walaupun Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat Solat Tarawih, namun dalam tempoh peralihan ini pertimbangan sedemikian diberikan bagi meminimumkan risiko jangkitan.

“(Begitu juga) untuk meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat Witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

“Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau juga dibenarkan, dengan mengambil langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, turut dibenar bagi diadakan di masjid dan surau adalah aktiviti tadarus al-Quran, begitu juga kuliah dan kelas pengajian serta penyediaan hidangan untuk berbuka puasa (Iftar), hidangan selepas solat Tarawih (moreh), mahupun hidangan sahur secara bungkusan.

Related posts

Leave a Comment