Rapat sejadah semasa solat

SEREMBAN 23 Mac – Penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini mulai 1 April ini akan mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata selain menjaga penjarakan fizikal satu meter, jemaah yang dibenarkan masuk ke masjid dan surau adalah lelaki, wanita dan kanak-kanak, warga tempatan dan bukan warganegara serta penduduk tetap yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19.

“Jemaah yang hadir juga perlu memastikan dalam keadaan sihat, tiada gejala seperti demam, batuk, selesema atau sebagainya. Jemaah tidak dibenarkan untuk bersalaman atau melagakan penumbuk.

“Satu sejadah hanya untuk seorang sahaja, jemaah boleh rapatkan sejadah tapi tidak boleh berkongsi dalam keadaan pandemik ini, jemaah juga perlu membawa sejadah sendiri, pakai pelitup muka dan imbas Mysejahtera,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata bagi aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliyah atau ceramah, qiamullail, tadarus, iktikaf serta program komuniti seperti penyampaian bantuan majlis berbuka puasa turut dibenarkan dengan menjaga penjarakan fizikal.

Selain itu takbir hari raya di masjid, surau dan takbir dari rumah ke rumah juga dibenarkan dengan menjaga penjarakan fizikal serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata aktiviti sosial seperti kenduri kahwin, majlis sambutan hari kebesaran Islam, program komuniti seperti gotong-royong turut dibenarkan dengan segala SOP terperinci boleh disemak di laman sesawang www.jheains.gov.my.

Related posts

Leave a Comment