Kembar siam, HTA catat sejarah

 

KUALA LUMPUR 20 Mac – Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini, melakar sejarah apabila pasangan kembar siam pramatang seberat 2.7 kilogram (kg), yang pertama di Malaysia berjaya dipisahkan, semalam.

Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Dr Zakaria Zahari, berkata pembedahan seumpama itu biasanya dilakukan ketika usia bayi antara tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan komplikasi ‘extrauterine twin-to-twin transfusion syndrome’, pasangan itu terpaksa menjalani pembedahan segera pada usia 17 hari.

“Bayi kembar lelaki ini dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB, Dr Maneet Kaur untuk rawatan lanjut di HTA.

Selepas perbincangan antara doktor pakar HRPB dan HTA secara dalam talian pada 15 Mac lalu, keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu disepakati,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook HTA, malam tadi.

Dr Zakaria berkata, pasukannya disertai 13 doktor pakar, termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara, berserta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.

Katanya, pasangan kembar siam jenis Omphalophagus itu berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit tanpa komplikasi utama dan didapati berkongsi bahagian hati, manakala organ lain didapati normal.

“Proses persediaan untuk pembedahan dimulakan seawal jam 7.30 pagi dan kedua-dua bayi kemudian dihantar balik ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) pada jam 2 petang.

“Dengan sokongan pasukan Neonatologi, diharapkan kedua-dua bayi ini dapat sembuh dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Dr Zakaria berkata, sejak pembukaan HTA, pembedahan itu adalah yang ketiga bagi pasangan bayi kembar siam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengucapkan tahniah kepada pasukan HTA atas kejayaan pembedahan pasangan kembar siam yang paling muda itu.

Pembedahan ini berjaya memisahkan pasangan bayi kembar yang bercantum di bahagian dada dan usus.

“Tahniah dan syabas kepada pasukan HTA yang diketuai Datuk Dr Zakaria kerana berjaya memisahkan bayi kembar ini dan kini mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya melalui Twitternya.

Related posts

Leave a Comment