22,341 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 20 Mac – Malaysia merekodkan sejumlah 22,341 kes baharu Covid-19 semalam, menunjukkan penurunan berbanding 24,241 sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,974,019 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 21,817 kes adalah penularan tempatan, manakala 524 membabitkan kes import.

Selangor mendahului dengan 7,366 kes diikuti negeri lain melebihi 1,000 kes iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 3,078, Pulau Pinang 1,928, Negeri Sembilan 1,405, Perak 1,403, Kedah 1,353, Johor 1,286, Sarawak 1,177 dan Pahang 1,009.

Daripada keseluruhan kes baharu semalam, lebih 99 peratus adalah pesakit dalam kategori 1 dan 2, hanya 0.68 peratus pesakit kategori 3 hingga 5.

Kategori 1 membabitkan 10,181 kes (45.57 peratus), 12,007 kes kategori 2 (53.75 peratus), 58 kes kategori 3 (0.26 peratus), 45 kes kategori 4 (0.2 peratus) dan 50 kes kategori 5 (0.22 peratus).

Daripada 153 kes Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 semalam, 48 kes (31.37 peratus) tidak atau belum lengkap divaksinasi, 61 kes (39.87 peratus) sudah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 44 kes (28.76 peratus) telah menerima dos penggalak.

Selain itu, sejumlah 96 daripada 153 kes (62.75 peratus) membabitkan individu berumur 60 tahun dan ke atas dan 71 kes (46.41 peratus) pula mempunyai komorbid.

Related posts

Leave a Comment