Trump ‘ancam’ Kanada

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua barangan Kanada yang memasuki negara itu jika ia meneruskan perjanjian perdagangan dengan China.

Sambil menggelar Perdana Menteri Mark Carney sebagai ‘gabenor’, Trump berkata akan menjadi kesilapan besar beliau jika membenarkan Kanada menjadi ‘pelabuhan persinggahan’ bagi produk China untuk pasaran AS.

“Jika Kanada mengadakan perjanjian dengan China, ia akan segera dikenakan tarif 100 peratus terhadap semua barangan dan produk Kanada yang masuk ke AS,” tulis Trump di platform media sosial miliknya, Truth Social.

Presiden itu meramalkan kesan buruk kepada Kanada akibat hubungan ekonomi yang lebih erat dengan Beijing.

Beliau mendakwa, China akan membaham Kanada hidup-hidup, menelannya sepenuhnya, termasuk memusnahkan perniagaan, fabrik sosial, dan cara kehidupan awam mereka.

Minggu lalu, Kanada mengumumkan ia telah mencapai persetujuan perdagangan secara prinsip dengan Beijing susulan lawatan Carney ke China, mengenai pengurangan tarif ke atas kenderaan elektrik China sebagai pertukaran kepada pengurangan duti eksport pertanian Kanada.

Trump berkata Kanada menentang cadangan perlindungan ‘Golden Dome’ beliau ke atas Greenland dan sebaliknya mengundi untuk menyokong perniagaan dengan China.

Hubungan antara Washington dan Ottawa merosot secara mendadak sejak Trump memegang jawatan pada Januari tahun lalu, ketika Carney berusaha untuk menangani tarif AS yang dikenakan semasa tahun pertama presiden itu, di samping menolak gesaan Kanada menjadi negeri ke-51 AS.

Di tengah-tengah hubungan yang semakin merosot itu, Trump pada Khamis menarik balik undangan kepada Kanada untuk menyertai ‘Lembaga Keamanan’ beliau, sebagai tindak balas terhadap kenyataan Carney pada Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Trump minggu ini memuat naik satu imej di media sosial yang memaparkan peta Kanada bersama Greenland dan Venezuela yang dilitupi bendera AS.

Menteri Kanada yang bertanggungjawab terhadap perdagangan dengan AS, Dominic LeBlanc, tampil menolak ancaman terbaharu Trump itu.

“Tiada sebarang usaha untuk mengejar perjanjian perdagangan bebas dengan China. Apa yang dicapai ialah penyelesaian terhadap beberapa isu tarif penting,” katanya menerusi platform X.

Nnn

Related posts

Leave a Comment