Pejuang masih relevan – Dr M

PUTRAJAYA 18 Mac – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih relevan walaupun mengalami kekalahan teruk sehingga hilang deposit bagi semua 42 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Pengerusi Pejuang,  Dr Mahathir Mohamad, menegaskan parti itu akan terus berjuang dalam arena politik negara, termasuk memberi penekanan kepada isu dan keperluan rakyat.

“Kita sebulat suara pada peringkat Biro Politik dan Majlis Eksekutif untuk meneruskan perjuangan kita, walaupun Pejuang kalah teruk sehingga tiada satu pun deposit dapat diselamatkan ketika PRN Johor.

“Kita juga sudah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan kekalahan itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Beliau berkata antara faktor kekalahan adalah Pejuang terlampau tertumpu kepada isu membanteras rasuah sehingga kurang menekankan masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti isu pengangguran dan tidak cukup makan.

Antara kerusi yang menyaksikan Pejuang hilang deposit ialah DUN Buloh Kasap dengan 144 undi, Tenang (224), Batu Kemelah (289), Simpang Jeram (197), Gambir (215), Bukit Pasir (196), Senggarang (162) dan Rengit (202).

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memaklumkan pada masa depan, pihaknya akan mengkaji satu-satu isu terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian pada PRN Johor daripada berulang.

“Kita berpendapat pemerintah yang dipilih oleh rakyat pada PRN Melaka, Johor dan Sarawak adalah tidak baik untuk negara. Mereka sepatutnya tidak menjadi kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment