Kajian semula tertakluk pindaan perlembagaan

PUTRAJAYA 13 Sept.  – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusinya, Ramlan Harun.

Katanya, penambahan kerusi Parlimen itu kelak turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa.

“Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian itu pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata SPR mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak pada Jumaat lalu.

Beliau berkata SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara itu dimaklumkan kepada umum.

Perdana Menteri sebelum ini berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment