Tangguh dulu hasrat adakan PRU15

KUALA LUMPUR 18 Mac – Ketika ada desakan dari Perhimpunan Agung UMNO supaya menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula berpendapat ia wajar ditangguhkan.

Bagi Khairy, penangguhan itu wajar dilakukan sehingga keadaan kesihatan awam benar-benar stabil.

Katanya, adalah wajar mengambil pendekatan tunggu serta menangguh perkara-perkara yang akan merumitkan proses pemulihan ke arah endemik.

“Saya lihat semangat Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), walaupun beliau berkata akar umbi parti mahukan PRU lebih awal, tetapi dia serahkan hal itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO di sini.

Mengulas lanjut, Khairy yakin Perdana Menteri akan mengambil pandangan bukan sahaja soal pemulihan negara dan memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui oleh kerajaan dan pembangkang untuk reformasi institusi, tetapi juga pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kesihatan awam.

“Lebih baik kita tangguh dahulu perkara yang boleh merumitkan pemulihan ini, dan PRU15 adalah hal yang boleh ditangguh sehingga keadaan kesihatan awam lebih stabil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, tahap kestabilan kesihatan awam selepas pembukaan sempadan negara hanya dapat diukur menerusi kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Kita akan mula buka sempadan pada 1 April ini dan kita nak tengok kesan kepada pembukaan itu dan kita jangka pembukaan yang akan dibuat dengan selamat dan tidak ada tekanan kepada sistem kesihatan awam.

“Tetapi apa yang kita tak tahu adalah dari segi varian baharu Omicron, ini kita masih pantau sebab kita tahu Omicron ini ada sub unit dan pakar di KKM sedang memantau. Kalau kita lihat negara Eropah, kadar jangkitan turun dan naik,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Rembau itu turut memberitahu, KKM juga akan memantau dari segi kelonggaran solat tarawih.

“Saya nak tengok selepas 1 April ini… lebih kelonggaran solat tarawih dan sebagainya, melonjak naik atau tidak, kes tak apa, cuma kemasukan hospital dan ICU itu saya nak lihat dalam beberapa bulan lagi, keadaan itu stabil atau tidak,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment