Kes tertinggi, peraturan pelawat dilonggar

BANGKOK 18 Mac – Thailand mencatatkan kes harian tertinggi Covid-19 dengan merekodkan 27,071 kes berbanding 26 Februari lalu sebanyak 25,615 yang membawa kepada jumlah keseluruhan 3,303,169 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26,919 kes dalam kalangan penduduk awam, 103 penghuni penjara dan 49 kes import.

Jumlah kes harian itu tidak termasuk 23,157 kes positif hasil ujian antigen dalam tempoh 24 jam yang jika digabungkan membawa kepada 50,228 kes.

Sebanyak 80 lagi kematian dilaporkan hari ini, berumur antara 30 dan 101 tahun yang membawa kepada jumlah keseluruhan 24,075 orang.

Semalam, Kementerian Kesihatan Awam merekodkan 25,456 kes dengan jumlah kematian 77 orang.

Bangkok merekodkan kes harian tertinggi iaitu 3,252, diikuti Nakhon Si Thammarat 1,717, Chon Buri 1,256, Samut Prakan 976, Samut Sakhon 942, Ayutthaya 677, Chachoengsao 656, Pathum Thani 653, Nakhon Pathom 642 dan Rayong 628.

Semalam sebanyak 230,603 orang mendapatkan rawatan Covid-19 di mana 68,776 di hospital termasuk 1,391 yang dalam keadaan kritikal dan 511 bergantung kepada bantuan ventilator.

Sebanyak 21,522 dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan 3,048,491 orang pulih.

Sejak permulaan pandemik pada awal 2020, sebanyak 3,303,169 kes Covid-19 dilaporkan termasuk 1,079,734 tahun ini.

Jumlah kematian pula sebanyak 24,075 termasuk  2,377 tahun ini.

Sementara itu, Thailand melonggarkan lagi peraturan kemasukan ke negaranya, termasuk membatalkan ujian pra-perjalanan Covid-19 bagi pelancong antarabangsa mulai 1 April, sebagai usaha memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, pelancong di bawah program “Test & Go”, “Sandbox” dan Kuarantin Alternatif (AQ) tidak perlu sertakan ujian Covid- 19, 72 jam sebelum perjalanan.

Bagi pelancong di bawah program “Test & Go”,  mereka akan menjalani ujian RT-PCR sejurus ketibaan dan ujian antigen kendiri pada hari kelima.

Sementara itu, pelancong di bawah program “Sandbox” akan tinggal di destinasi tertentu selama lima hari sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke wilayah lain.

Destinasi “Sandbox” termasuk Krabi, Phang-Nga, Koh Samui, Koh Chang, Pattaya dan Chiang Mai.

Kuarantin mandatori akan dikurangkan kepada lima hari bagi pelancong di bawah skim AQ, dan hanya perlu menjalani ujian RT-PCR pada hari keempat atau kelima.

Perlindungan insurans perjalanan untuk pelancong dikekalkan US$20,000.

CCSA turut melanjutkan tempoh darurat selama dua bulan – dari 1 April hingga 31 Mei – bagi membendung penularan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment