Perikatan Barisan Nasional tidak dibincang

TANJONG 23 Julai  – Cadangan pembentukan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 yang mahu dikenali Perikatan Barisan Nasional (PBN) tidak pernah dibincangkan secara rasmi antara parti komponen itu.

Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini cadangan hanya dibangkitkan menerusi ucapan dalam siri kempen politik semata-mata.

Beliau berpandangan, sekiranya hasrat berkenaan mahu dibuat secara serius, pihak yang mencadangkannya perlu mengemukakan cadangan secara rasmi untuk diperincikan.

“Sebaiknya adakan perbincanganlah. Kita ‘formalize’ (lakukan secara rasmi) lah kalau itu serius cadangannya. Tetapi kalau setakat kempen saja, saya fikir harus diperincikanlah cadangan berkenaan,” katanya ringkas pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)  menyempurnakan Mesyuarat Pelarasan antara KKDW bersama Exco-exco luar bandar (MEXCLUB) ke-61 Bilangan 1 2026 di sini.

Terdahulu, media melaporkan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hamzah Zainudin, mahu persefahaman antara PN dan BN pada pilihan raya ini  dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional.

Beliau berkata, gelaran itu diperkenalkan bagi memudahkan rakyat memahami persefahaman kedua-dua gabungan, selain mengelak kekeliruan apabila menyebut PN dan BN secara berasingan.

“Kita namakan ini supaya orang tidak keliru lagi. Di Negeri Sembilan ini kita mulakan dengan Perikatan Barisan Nasional kerana ramai orang sebut PN, BN, PN, BN. Saya kata, okaylah PBN. Yang penting bukan nama, tetapi jiwa untuk kita bersama menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya malam semalam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment