TANJONG 23 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, membalas pantun nukilan Anwar Ibrahim yang turut disertai foto mesyuarat Kabinet melalui facebok Perdana Menteri semalam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menghasilkan pantun itu pada pukul 9.04 malam tadi. Pantunnya berbunyi:
Mendaki ke Gunung Tahan
Jatuh ke gaung temui maut
Bumbung tercabut mampu ditahan
Jika ribut di terbang ke laut.
Semalam, Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menitipkan pantun empat kerat yang menekankan nilai setiakawan berbunyi:
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan,
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.
Dalam hantaran itu, Anwar turut berkongsi gambar suasana mesyuarat Jemaah Menteri yang antaranya dihadiri Ahmad Zahid dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang dilihat mesra serta ceria.
Malahan di salah satu gambar, diselitkan juga lagu Madu dan Racun.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid pada sidang media di sini menepis sebarang dakwaan berhubung wujudnya usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Beliau berkata, tiada gerakan politik seperti ‘Langkah Bangkok’ atau ‘Langkah Dubai’, selain menegaskan BN kekal komited sepenuhnya untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15.
“(Ada) Macam-macam telahan, macam-macam bacaan. Dia bergantung kepada saya. Saya tiada niat langsung, tiada Langkah Bangkok ke, tiada Langkah Dubai ke tak ada.
“Apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15. Noktah. Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya.
Biarkan orang bercakap asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama untuk stabil politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini. Biarlah apa saja orang bercakap,” katanya.
Ditanya mengenai tahap keakraban hubungan beliau bersama Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata, sama ada masih baik atau tidak secara berseloroh berkata, “Tengoklah… yang tak buat cuma tak ada cium mulut sahaja, lain semua okay,”.
Nnnn
