Masuk Kemboja tanpa ujian Covid-19

PHNOM PENH 17 Mac – Kemboja akan menggugurkan syarat yang mewajibkan pelawat luar mengambil ujian Covid-19 sebelum mereka dibenarkan memasuki negara itu, demikian menurut pegawai negara berkenaan,

Tindakan itu, bertujuan merangsang lebih banyak pelaburan dan pelancongan ketika Kemboja mendahului kebanyakan negara jiran melonggarkan kebanyakan sekatan berkaitan Covif-19.

Bagaimanapun, pelawat asing masih perlu mengambil vaksin sepenuhnya dan mereka yang tidak dapat menunjukkan bukti vaksinasi perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas ketibaan.

Data rasmi menunjukkan 92.31 peratus daripada 16 juta penduduk negara itu telah mengambil vaksin dan antara kadar tertinggi di rantau ini.

Dalam satu ucapan, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berkata, peraturan baharu itu akan membantu meningkatkan pelancongan dan perniagaan.

“Kini ia adalah peringkat untuk membuka ekonomi dengan mempelajari cara hidup dengan Covid,” katanya.

Walaupun dengan menyingkirkan ujian mandatori, pihak berkuasa menyeru pelawat melakukan ujian kendiri.

“Kementerian Kesihatan ingin menggesa semua pelancong supaya mereka melakukan ujian pantas,” kata Menteri Kesihatan Mam Bunheng dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa juga merancang untuk meneruskan pengeluaran visa semasa ketibaan, yang digantung semasa wabak, walaupun kenyataan daripada Kementerian Kesihatan tidak mengesahkan bila ini akan bermula.

Kemboja yang melaporkan 140 jangkitan Covid-19 baharu pada Rabu, mencatatkan 3,049 kematian secara keseluruhan akibat virus itu.

Menurut Bank Dunia, ketibaan antarabangsa menjunam kepada 113,000 atau kejatuhan 90.6 peratus dalam tujuh bulan pertama 2021, berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Bayaran masuk yang dikutip dari kompleks kuil Angkor yang terkenal di Kemboja juga menjunam 98.7 peratus kepada AS$236,000 sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Bank Dunia, industri pelancongan menyumbang dua juta pekerjaan dan menyumbang kepada satu perempat daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kemboja sebelum wabak itu.

Related posts

Leave a Comment