SEREMBAN 23 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan, Muhammad Nazri Kassim berhasrat menjadikan kawasan itu pusat bandar yang lebih bersih, terurus selamat dan berdaya maju.
Beliau berkata, keutamaan bukan sekadar kepada pembangunan baharu tetapi adalah untuk memastikan segala kemudahan awam diselenggara secara berterusan demi keselesaan penduduk.
“Jalan raya, longkang, parit, sungai, pengurusan sampah serta landskap perlu diberi perhatian serius kerana perkara inilah yang memberi kesan secara langsung kepada kualiti hidup rakyat,” katanya.
Katanya, kejadian banjir yang pernah berlaku pada tahun 2021 perlu dielakkan dengan penyelenggaraan infrastruktur terutama sungai.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Santai Petang Warga Ampangan bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Benteng@Medan Selera Ampangan, semalam.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini, Nazri dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan kerusi PH itu yang terletak dalam kawasan Parlimen Seremban.
Menerusi pertandingan tiga penjuru, beliau berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Muhamad Rafie Malek dan calon Bersatu Noor’aziah Harun.
Calon No.1 itu, menarik perhatian dalam tempoh tiga empat tahun kebelakangan ini, banjir dapat dielakkan dan ini membuka peluang membangunkan kawasan rekreasi bagi aktiviti riadah seperti berjoging, berbasikal dan aktiviti sukan lain.
“Kita mahu kawasan ini menjadi lokasi beriadah, berjoging, berbasikal dan bersantai bersama keluarga dan pada masa sama, boleh merancakkan ekonomi dengan mewujudkan ruang perniagaan kecil seperti gerai makanan dan minuman,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan Ampangan di tengah bandar Seremban juga boleh dimanfaatkan sebagai hab ekonomi dengan memperkasakan kawasan seperti Benteng bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Mengenai hasil pertemuan dengan penduduk sepanjang tempoh berkempen setakat ini, beliau berkata isu banjir, penyelenggaraan sungai, sistem perparitan dan pengurusan sisa pepejal merupakan antara perkara yang kerap dibangkitkan.
Katanya, penduduk berharap usaha penyelenggaraan sungai diteruskan secara berkala bagi mengelakkan kejadian banjir berulang, selain memastikan sistem saliran sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Sebagai contoh di Kampung Ismail, terdapat beberapa jajaran longkang yang dibina dengan aras yang kurang sesuai sehingga menyebabkan air bertakung. Keadaan ini perlu diberi perhatian supaya sistem saliran dapat diperbaiki dan risiko banjir dapat dikurangkan demi kesejahteraan penduduk,” katanya.
Pada pilihan raya 2023, calon PH Tengku Zamrah Tengku Sulaiman memenangi kerusi itu dengan majoriti 329 undi selepas memperoleh 6,054 undi mengalahkan Muhammad Ghazali Zainal Abidin (PN) 5,725 undi manakala Dr Mohamad Rafie Ab Malek (Bebas) 3,079 undi.
Nnnnn
