Tengku Zafrul nafi letak jawatan

KUALA LUMPUR 17 Mac – Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan laporan beliau sudah meletakkan jawatan selepas tidak menghadiri sesi Dewan Rakyat di ibu negara, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, beliau juga tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 (2022) kerana itu sememangnya dalam perancangan Kementerian Kewangan.

Bahkan, pada tahun lepas, katanya, Timbalan Menteri Kewangan yang membentangkan RUU Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat.

“Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media – gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” katanya.

Mengenai isu ketidakhadiran di Parlimen pada sesi MQT (Waktu Pertanyaan Menteri) pula, beliau menjelaskan bahawa ada sedikit kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi ini, dan perkara ini telah pun dimaklumkan semalam.

“Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook dan Instagram rasmi beliau, hari ini..

Tambah Tengku Zafrul, mengikut prosedur operasi standard (SOP) soalan MQT, hanya Menteri sahaja yg boleh memberikan jawapan.

“Ini bukan pertama kali seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan Menteri lain. Banyak ‘precedent on this’.

“Terima kasih YB Menteri Agama kerana membacakan jawapan saya.

“Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada YB Padang Serai serta YB Tumpat dan YB Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang telah berlaku,” kata beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, di Dewan Rakyat hari ini, Mahfuz Omar (PH – Pokok Sena) turut bertanya jika benar Tengku Zafrul sudah meletakkan jawatan ketika Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah bangun untuk mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021.

Sementara itu, di Dewan Rakyat, beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak puas hati apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menggantikan Menteri Kewangan atau timbalannya yang tidak hadir untuk menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pagi ini.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat, pada sesi MQT, Menteri Kewangan sepatutnya menjawab soalan berkenaan isu 1MDB dan SRC International.

M Karupaiya (PH-Padang Serai) mengemukakan soalan berkaitan jumlah bayaran yang dijelaskan oleh kerajaan untuk membayar balik hutang berkaitan dengan 1MDB dan SRC International.

Karupaiya juga bertanya apakah sumber kewangan yang digunakan serta berapa jumlah nilai daripada setiap sumber itu dan semua pembayaran dibuat atas nama siapa serta berapa baki lagi yang masih rakyat Malaysia hutang.

Selepas soalan asal dikemukakan, Timbalan Speaker, Abdul Rashid Hasnon, kemudian melihat ke tempat duduk menteri dan hanya memaklumkan soalan itu akan diambil perhatian dan Idris kemudian bangun menjawab soalan itu dengan membaca teks.

Keadaan itu sekali gus mencetuskan ketidakpuashatian dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang bangkit mempersoalkan tindakan Idris yang ‘dipertanggungjawabkan’ untuk menjawab soalan berkenaan 1MDB dan SRC International.

Pada masa yang sama,  soalan tambahan juga tidak dapat dijawab sebaliknya Idris hanya memaklumkan ia akan dipanjangkan kepada menteri berkaitan.

Related posts

Leave a Comment