Keputusan sukar, pengeluaran terakhir

PUTRAJAYA 16 Mac – Kerajaan bersetuju membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000, kata

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob,

Menyifatkan sebagai  ‘keputusan sukar’ beliau berkata kebenaran itu hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

“Justeru, hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, petang ini.

Beliau menegaskan,  kebenaran pengeluaran caruman KWSP itu adalah keputusan  sukar kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

Katanya, walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP, namun beliau merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih ramai ahli KWSP akan bersara di bawah paras Pendapatan Garis SKemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan.

Malah katanya, hampir separuh daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 55 peratus daripadanya terdiri daripada Bumiputera.

Sementara itu, KWSP dalam kenyataannya berkata, pengeluaran RM10,000 yang diumumkan hari ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

Menurut KWSP, ini adalah pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi.

“Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran berkenaan.

“Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

“KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment