Keistimewaan ketua pembangkang Singapura

PERDANA Menteri, Lee Hsien Loong menyifatkan bilangan 12 anggota pembangkang  pada kali ini sebagai terbesar dalam sejarah pada masa ini apabila Parlimen ke-14 Singapura dibuka semula pada 24 Ogos ini.

Mereka terdiri daripada 10 anggota Parti Pekerja (WP) dan dua Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Dalam catatan Facebooknya semalam,  Lee berkata, berikutan itu, Setiausaha Agung WP Pritam Singh dilantik sebagai  Ketua Pembangkang dengan diberi keistimewaan dan kemudahan serta sokongan untuk melaksanakan peranannya.

“Saya harap dapat melihat bukan sahaja lebih banyak perbahasan konstruktif, tetapi alternatif dasar yang serius daripada pembangkang,” katanya

Sementara itu dalam kenyataan bersama oleh pejabat Speaker Parlimen dan pemimpin Dewan semalam, Kerajaan Singapura telah membuat ketetapan berhubung tugas dan hak istimewa bagi Ketua Pembangkang di Parlimen ke-14,

Pemimpin itu akan mengetuai barisan pembangkang menyuarakan pandangan alternatif dalam perbahasan parlimen mengenai dasar, rang undang-undang dan usul.

Ketua pembangkang juga akan memimpin dan menganjurkan pemeriksaan terhadap tindakan serta kedudukan kerajaan di parlimen; dan dirujuk berhubung pelantikan anggota pembangkang ke Jawatankuasa Pemilih, termasuk Jawatankuasa Tetap Pemilih, seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Kenyataan itu mengaku bahawa jawatan itu tidak dinyatakan sama ada dalam perlembagaan, mahupun Perintah Tetap Parlimen, dengan jawatan ketua pembangkang tidak pernah wujud secara rasmi pada tahun 1950-an, mahupun awal 1960-an, semasa terdapat jumlah anggota dewan perundangan yang besar di pihak pembangkang.

Namun, merujuk ucapan di majlis angkat sumpah perdana menteri, keputusan pilihan raya umum 2020 menunjukkan “keinginan kuat dalam kalangan rakyat Singapura untuk menyaksikan kepelbagaian pandangan politik yang lebih luas” dan kecenderungan ini akan berkekalan”.

Bagi membolehkan beliau menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua pembangkang, Pritam, yang partinya memenangi 10 daripada 93 kerusi pada pilihan raya umum baru-baru ini, akan diberi beberapa hak istimewa dan sumber tambahan.

Beliau akan diberikan hak sebagai yang pertama dalam kalangan Ahli Parlimen memberikan maklum balas, dan mengajukan soalan utama kepada menteri berhubung dasar, rang undang-undang dan usul, bergantung kepada konvensyen ucapan sedia ada.

Ketua pembangkang juga akan menerima taklimat sulit oleh kerajaan berhubung perkara-perkara terpilih yang berkaitan dengan keselamatan negara dan hubungan luar, serta semasa darurat atau krisis negara, menurut kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment