Selangor tidak berhasrat bubar DUN

SHAH ALAM 16 Mac – Kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak berhasrat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata hasil perbincangannya bersama beberapa Menteri Besar Pakatan Harapan, adalah lebih baik pentadbiran sedia ada ditamatkan hingga akhir penggal iaitu April atau Mei tahun hadapan.

“Kita sepakat adalah lebih baik dan berkesan jika pentadbiran ini diselesaikan sehingga penggal berakhir,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pengumuman pembubaran adalah di bawah perkenan Tuanku Sultan Selangor.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan berkata, enam negeri termasuk Negeri Sembilan sudah berbincang mengenai perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara, baru-baru ini.

Mengambil kira Selangor dan Negeri Sembilan yang tidak bercadang berbuat demikian, empat negeri lain berkemungkinan Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Pas, Pulau Pinang (PH) dan Kedah (Pas).

Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor sudah melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

Related posts

Leave a Comment