15 calon wanita menang PRN Johor

JOHOR BAHRU 13 Mac – Sebanyak 15 daripada 37 calon wanita Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor  berjaya memenangi kerusi masing-masing, manakala kesemua tujuh wanita dipertaruhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PKR kecundang tanpa memenangi sebarang kerusi.

Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amira Aisya Abd Aziz, 27, yang membuat penampilan pertama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa antara yang menyerlah apabila memenangi kerusi itu dengan majoriti 7,114 setelah memperoleh 22,884 undi, menewaskan lima pencabar lain.

Ia sekali gus menjadikan beliau yang juga Setiausaha Agung Muda, menjadi satu-satunya calon berjaya menyumbang kerusi tunggal untuk parti baharu yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu.

Turut menarik perhatian ialah calon Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib yang terus mempertahankan kerusi dengan majoriti 3,041 undi, menewaskan empat calon lain.

Alwiyah sebelum ini memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket BN sebelum memutuskan untuk menyertai Bersatu.

Calon wanita yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) kali ini pula menyerlah apabila sembilan daripada 14 calon menang antaranya Nor Rashidah Ramli dan Rashidah Ismail yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di Parit Raja dan Pasir Raja.

Selain itu, calon BN lain yang menang ialah Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang), Fauziah Misri (Penawar), Norlizah Noh (Johor Lama),  Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota), Khairin-Nisa Ismail@ Md On (Serom), Haslinda Salleh (Tenang) dan N.Saraswati (Kemelah).

Pakatan Harapan (PH) pula berjaya memperoleh kerusi melalui empat calon wanitanya iaitu Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor Marina Ibrahim, Gan Peck Cheng (Penggaram), Ng Kor Sim (Jementah) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

PRN Johor menyaksikan peningkatan jumlah calon wanita yang bertanding di negeri berkenaan berbanding 28 orang sewaktu PRU14 pada 2018, dengan BN mempertaruhkan calon terbanyak iaitu 14 orang, PN (enam), PH (lapan), Pejuang (empat), PKR (tiga) dan Muda (dua).

Pilihan raya tersebut menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Related posts

Leave a Comment