85 calon hilang wang deposit

JOHOR BAHRU 13 Mac – Sebanyak 85 calon hilang wang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam termasuk 42 calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang turun buat pertama kali pada pilihan raya.

Turut pulang dengan ‘tangan kosong’ adalah Parti Bangsa Malaysia (PBM) (empat calon), Parti Sosialis Malaysia (satu) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) (satu).

Parti Warisan yang melebarkan sayapnya di Semenanjung dengan meletakkan enam calon turut menerima nasib sama.

Selain itu, tujuh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Semarang, Tenggeroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat dan Benut turut kehilangan deposit setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Manakala masing-masing empat calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Yong Peng, Layang-Layang, Mengkibol dan Paloh dan Pakatan Harapan (PH) di Endau, Panti, Sedeli dan Penawar turut menerima nasib sama.

Bagi kesemua 16 calon Bebas yang bertanding di 12 DUN, hanya Zahari Osman yang berhadapan pertandingan empat penjuru di DUN Penggaram memperoleh undi tertinggi berbanding calon Bebas lain iaitu sebanyak 2,190 undi.

Related posts

Leave a Comment