Bandar 9 juta penduduk dikuarantin

SHANGHAI: Bandar Changchun di timur laut China dengan kepadatan penduduk sembilan juta orang diarah melakukan kuarantin (lockdown) dalam usaha membendung wabak baharu Covid-19.

Ibu kota wilayah Jilin dan pangkalan perindustrian penting itu mengarahkan penduduk bekerja dari rumah dan hanya seorang akan dibenarkan keluar setiap dua hari untuk membeli ‘keperluan harian’.

Ujian besar-besaran juga akan diadakan ketika pihak berkuasa sedang berusaha untuk menghentikan wabak baharu Covid-19 yang mengakibatkan jumlah kes di seluruh negara mencapai tahap tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Selepas varian Omicron yang sangat mudah dijangkiti menembusi kubu pertahanan China, kes Covid-19 di seluruh negara melonjak melepasi paras 1,000 minggu ini, jauh lebih tinggi berbanding kali pertama sejak awal wabak itu pada 2020.

Kiraan rasmi harian mendapati, terdapat 1,369 kes di lebih puluhan wilayah di negara itu.

Hari ini juga, Shanghai mengarahkan sekolahnya ditutup dan beralih kepada pembelajaran dalam talian.

Covid-19 pertama kali dikesan di China pada penghujung 2019 tetapi kerajaan melaksanakan kawalan ketat besar-besaran dengan penutupan segera serta saringan besar-besaran selain mengekalkan penutupan sempadan.

Kesannya, jangkitan kes sangat rendah tetapi pendekatan yang agresif itu menyebabkan keletihan pandemik di China.

Related posts

Leave a Comment