Shinzo Abe terima ijazah kehormat

KUALA LUMPUR 11 Mac –  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, di Istana Negara petang ini.

Pada pertemuan tersebut, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada Abe yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Anugerah itu sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dijadualkan berlangsung esok.

Upacara penganugerahan itu turut dihadiri Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Presiden UIAM, Dr Mohd Daud Bakar, serta pegawai kedutaan besar Jepun di Kuala Lumpur.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada Abe dan kerajaan Jepun sempena ulang tahun ke 40 Dasar Pandang Ke Timur Malaysia (DPT) dan 65 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun.

Abe kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia bermula Khamis sempena Ulang Tahun ke-40 DPT dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

Related posts

Leave a Comment