Kes harian melepasi 30,000

PUTRAJAYA 9 Mac – Angka jangkitan Covid-19 dalam negara kembali melonjak melepasi 30,000 apabila merekodkan 31,490 lagi kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,655,345 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 31,017 kes membabitkan penularan tempatan dan 473 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Beliau memberitahu , pesakit dalam kategori dua paling tinggi dikesan dengan 18,623 kes atau 59.14 peratus, diikuti kategori satu dengan 12,692 kes, kategori tiga (62 kes), kategori lima (61 kes) dan kategori empat (52 kes).

Menurut kenyataan medianya,  daripada keseluruhan kategori tiga hingga lima itu 107 kes (61.14 peratus) meliputi individu berusia 60 tahun ke atas, yang sudah menerima dua dos vaksin tetapi belum mendapatkan dos penggalak meliputi 90 kes.

Sebanyak 46 kes lagi sudah menerima dos penggalak, mempunyai komorbid (43 kes) dan tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (39 kes).

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 373 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 153 kes disahkan Covid-19 dengan 220 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi pesakit ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 223 pesakit iaitu 94 kes disahkan Covid-19 serta 129 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Mengenai pertambahan 11 kluster penularan Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham berkata ia menjadikan sehingga kini kumulatif 445 kluster aktif di negara ini.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sehingga semalam terdapat 29,035 kes sembuh dilaporkan, menjadikan sehingga kini 3,340,889 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment