Perhalusi vaksinasi kanak-kanak

BANDAR SERI BEGAWAN 9 Mac – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menitahkan agar pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun dikaji sepenuhnya sebelum dilaksanakan.

Titah baginda, Negara Brunei Darussalam tidaklah rugi jika sentiasa berhati-hati dalam semua perkara termasuk mengenai penggunaan ubat-ubatan.

“Beta difahamkan Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat akan memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak yang berumur 5 ke 11 tahun.

“Pada hemat beta, perkara ini elok juga dikaji masak-masak sebelum dilaksanakan kerana untuk mereka ini sudah disuntik akan berbangkit pula keperluan untuk mendapatkan dos penggalak,” titah baginda  semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu Covid-19, di Istana Nurul Iman, semalam..

Memetik laporan Pelita Brunei, baginda dalam titah itu mempersoalkan adakah perkara itu sudah dikaji sedalam-dalamnya kerana baru-baru ini tersebar berita bahawa Badan Pengawas Ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) masih menilai vaksin ‘coronavirus’ Pfizer untuk dos penggalak bagi kanak-kanak 12 hingga 15 tahun.

Baginda juga bertitah walau apa pun kategori kes yang direkodkan, ia tetap membimbangkan kerana tidak ada sesiapa pun yang mahu dijangkiti sama ada berupa Kategori 1 atau 2.

Titah baginda lagi dalam situasi yang masih membimbangkan ini, masanya belum tiba untuk melonggarkan sekatan dengan mengambil sikap mudah, mengurangkan pemantauan, pengawalan dan perawatan.

“Beta juga belum bersedia untuk bersetuju memberhentikan pengumuman harian kepada rakyat mengenai perkembangan jangkitan kerana bukankah pengumuman itu sifatnya notis untuk diambil perhatian oleh rakyat.

“Kalau tidak ada pengumuman, tidakkah ini ertinya kita menyembunyikan maklumat, sedang orang ramai mahu mengikut perkembangan dan berhajat sama kepada garis panduan., “ titah baginda.

Justeru dalam hal ini, pada hemat baginda, Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam secara harian oleh Menteri Kesihatan masih  merupakan wadah yang terbaik untuk menyampaikan maklumat situasi harian.

Related posts

Leave a Comment