PH bergerak solo di Melaka?

SHAH ALAM 30 Sept. – Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Amirudin Shari berkata, gabungan parti itu masih melihat peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan termasuk Barisan Nasional (BN).

Katanya, pertemuan dengan BN akan diadakan dalam masa terdekat untuk melihat peluang yang boleh diteroka susulan terdapat strategi untuk dipertimbang sekiranya kedua-dua gabungan itu bekerjasama.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan PH Melaka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (iPRN) Melaka dan berhasrat bertanding di kesemua 28 kerusi DUN.

Malahan katanya, agihan kerusi dalam kalangan parti PH pula selesai dan pengumuman calon dijangka dibuat selepas mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober.

Menurut Amirudin, beliau perlu muktamadkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya parti boleh membuat keputusan dasar untuk langkah seterusnya sama ada bertanding dengan persefahaman bersama beberapa pihak.

“Ataupun kita fokus kepada kawasan-kawasan kita, di samping ada persetujuan dengan pihak-pihak tertentu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) di sini, hari ini.

Amirudin, bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia sekiranya terdapat keperluan PH untuk bergerak bersendirian dengan cuba mengelakkan sebarang pertembungan.

“Strategi penting kepada PH adalah memaksimumkan potensi di kawasan-kawasan kita, cuba mengelak sebarang pertembungan yang tidak diperlukan dan memberikan tawaran terbaik kepada rakyat di Melaka,” katanya..

Related posts

Leave a Comment