Kemelut bukan medan cipta tekanan politik

SEPANG 30 Sept . – Kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Barisan Nasional (BN) hari ini perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kemelut yang melibatkan institusi diraja dan pentadbiran negeri secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Muhammad Sufian Maradzi berkata, perkara yang menyentuh institusi diraja, adat dan struktur pemerintahan negeri tidak seharusnya diperlakukan sebagai medan mencipta tekanan politik atau mendahului proses yang sedang berjalan.

“Kerajaan Negeri hari ini memikul satu tanggungjawab yang berat, menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah dan bidang kuasa institusi-institusi yang sah.

Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses tersebut,” katanya sebagai reaksi kepada kenyataan PKR Negeri Sembilan berhubung kemelut institusi dan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, dalam membicarakan keadaan hari ini, adalah penting supaya keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa Negeri Sembilan ke tahap ini tidak diketepikan atau ditafsir secara terpilih.

Beliau menarik perhatian, peristiwa 17 April merupakan antara titik paling penting dalam perkembangan tersebut.

“Kedudukan Undang Luak Sungei Ujong pada ketika itu dikatakan telah diputuskan secara kolektif melalui Dewan Keadilan dan Undang, kemudiannya dipertikaikan oleh pihak-pihak yang hadir, termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Justeru, persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental. Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?

Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan,” katanya.

Justeru, adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut hari ini tanpa mengakui bagaimana ia bermula supaya tidak berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

“Pertikaian inilah yang menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan UMNO/BN terhadap kepemimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan, tetapi terhadap cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan di bawah kepimpinan beliau.

Apabila penyelesaian politik tidak dicapai, beliau sendiri yang memilih DUN untuk dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

“Jika Keadilan (PKR) Negeri Sembilan benar-benar mahu melihat kemelut ini diselesaikan, mulakan dengan persoalan yang masih menjadi asas kepada keseluruhan krisis.

Pihak yang sedang dalam pertikaian menuntut dokumen tersebut dan kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikan perkara itu dengan tertib dan beradab. Jangan hanya memilih sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa,” katanya.

Sehubungan itu UMNO Negeri Sembilan juga menyeru rakyat agar melihat rentetan peristiwa yang berlaku bermula di zaman pentadbiran Kerajaan pimpinan PKR dan bagaimana sampai ke tahap ini sebelum meletakkan kesalahan terhadap kerajaan yang kini sedang berusaha menyelesaikannya.

“Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah. Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati,” tegasnya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment