Penggalak, kanak-kanak mendahului

PUTRAJAYA 8 Mac – Golongan dewasa dan kanak-kanak terus menjadi kumpulan teramai yang tampil mengambil dos vaksin Covid-19 semalam yang melibatkan dos penggalak dan dos pertama.

Sebanyak 47,278 lagi individu tampil mendapatkan dos penggalak menjadikan jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 15,113,923 atau 64.2 peratus daripada populasi dewasa mendapat suntikan ketiga itu.

Menurut data di laman web COVIDNOW, sepanjang semalam juga, sebanyak 17,784 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan 1,060,063 atau 29.9 peratus daripada populasi kanak-kanak menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Bagi populasi dewasa, 993 lagi melengkapkan vaksinasi menjadikan jumlah keseluruhan 22,930,441 manakala 897 lagi mengambil dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan 23,207,220 atau 98.7 peratus.

Sementara itu, 842 remaja berusia 12 hingga 17 tahun ini melengkapkan vaksinasi mereka menjadikan jumlah keseluruhan 2,832,919 manakala 830 mendapat sekurang-kurang dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan 2,933,324.

Sebanyak 68,624 dos vaksin diberikan semalam meliputi 19,511 dos pertama, 1,835 dos kedua dan 47,278 dos ketiga atau penggalak menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan setakat ini 67,869,343.

Related posts

Leave a Comment