RON97, RON95 turun 5 sen, diesel 15 sen

SEPANG 30 Sept. – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun 5 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi menurun 15 sen seliter, bagi tempoh 1 Oktober hingga 7 Oktober 2026.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan mengumumkan harga runcit baharu RON97 ialah RM5 seliter, RON95 RM4.52 seliter dan diesel RM5.27 seliter.

Sementara harga petroleum bersubsidi dikekalkan adalah RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Menurut Kementerian Kewangan, penurunan itu didorong oleh penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan formula ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM), susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.

Pada masa sama, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan dan eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan, berbanding purata sekitar tiga juta tan sebulan pada 2025.

Kenyataan itu menyebut, peningkatan bekalan ini membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau.

Bagaimanapun, pemulihan bekalan global masih tidak sekata apabila sebuah lagi loji penapisan utama Russia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine minggu lalu, sekali gus terus mengehadkan bekalan diesel dari Russia ke pasaran antarabangsa.

Nnn

Related posts

Leave a Comment