PUTRAJAYA 30 Sept. – Meta diminta memberi penjelasan menyeluruh kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung isu akaun aplikasi WhatsApp yang digantung tidak lagi dapat diakses atau diakses tanpa kebenaran.
Menerusi kenyataan hari ini MCMC memaklumkan sebanyak 92 aduan berkaitan isu berkenaan diterima pihaknya setakat ini.
Menurut suruhanjaya itu, permintaan rasmi sudah dikemukakan kepada Meta pada 25 September lalu, diikuti perbincangan bersama dengan syarikat teknologi berkenaan pada 28 September lalu.
“Meta telah memohon tempoh hingga 2 Oktober ini untuk memberikan maklum balas berhubung perkara berkenaan.
MCMC menggesa Meta memberikan penjelasan menyeluruh serta penyelesaian segera terhadap akaun pengguna yang terjejas dan akan menentukan tindakan susulan berdasarkan maklum balas terbabit,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau sudah meminta MCMC mengeluarkan kenyataan bagi memperjelas maklum balas Meta mengenai isu penggodaman dan penyahaktifan akaun WhatsApp.
Fahmi berkata, beliau masih belum menerima maklumat terkini hasil perbincangan antara MCMC dan Meta berhubung isu berkenaan.
Sebelum ini, MCMC memaklumkan pihaknya sedang meneliti aduan yang diterima dan sudah memajukan kes berkaitan kepada Meta untuk penjelasan serta tindakan selanjutnya.
Suruhanjaya itu turut menjelaskan bahawa pengambilalihan atau penggodaman akaun dan penyekatan akaun adalah dua perkara berbeza.
Akaun yang digodam pihak tidak bertanggungjawab berisiko disalahgunakan untuk aktiviti penipuan, spam atau pelanggaran terma perkhidmatan WhatsApp, yang akhirnya boleh menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform itu.
