Rapatkan saf solat di masjid,surau

KUALA LUMPUR 8 Mac – Rapatkan saf mulai 1 April ini. Tiada lagi penjarakan fizikal aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam mulai tarikh itu.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan demikian berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman bahawa Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan.

Katanya, penjarakan fizikal merupakan isu besar yang sering diperkatakan rakyat terutamanya membabitkan ‘rapatkan saf’ ketika solat jemaah dan dalam hal ini Kerajaan Persekutuan mencadangkan pemansuhan penjarakan itu.

“Jadi imam selepas ini boleh mengatakan rapatkan saf kerana kita tidak lagi menetapkan perlu ada satu meter penjarakan sosial.

“Walau bagaimanapun, oleh kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan agama Islam terletak di bawah kuasa negeri, di bawah kuasa Sultan di negeri-negeri, walaupun saya sebutkan tiada penjarakan fizikal lagi, itu adalah cadangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Kalau kerajaan negeri ingin menetapkan, Majlis Agama Negeri tetapkan perlu ada penjarakan fizikal, kita serahkan kepada kerajaan negeri kerana mereka ada hak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya pada sidang media khas di Parlimen pada Selasa.

Ismail Sabri juga merakamkan penghargaan kepada Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif kerajaan dalam memerangi Covid-19.

“Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’,” katanya,

Related posts

Leave a Comment