Malaysia buka sempadan mulai 1 April

KUALA LUMPUR 8 Mac – Selepas lebih dua tahun sempadan negara ditutup bagi mengekang penularan Covid-19, kerajaan hari ini mengumumkan pembukaan semula sepenuhnya sempadan mulai 1 April ini.

Ini bermakna mulai tarikh itu, Malaysia menjadi destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan demikian pada sidang media di Parlimen petang ini berkata, keputusan itu, selaras dengan pengumuman peralihan negara ke fasa endemik pada bulan depan.

“Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu pertama, ia berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19; kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain; ketiga, memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka,” katanya.

Katanya, dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa, serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

“Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera,” katanya.

Bagaimanapun, mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

Dengan pembukaan sempadan, katanya pengembara yang lengkap vaksinasi Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian saringan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas, serta ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Related posts

Leave a Comment