Fasa peralihan ke endimik 1 April

KUALA LUMPUR 8 Mac – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ bermula 1 April 2022 selepas rakyat bergelut dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta selepas meneliti syor daripada menteri kuartet.

Tegasnya, peralihan fasa tersebut merupakan ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat Malaysia kembali ke kehidupan hampir normal.

Bermula 1 April 2022 dalam fasa peralihan ke endemik, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih wajib dipatuhi setiap individu.

“Had waktu bagi premis perniagaan dimansuhkan. Premis boleh laksanakan waktu operasi masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis tersebt.

“Ini bermakna rakyat boleh makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam. Ada kedai, ada restoran yang bukan selama 24 jam, itu juga dibenarkan,” katanya dalam sidang media khas di Parlimen petang ini.

Katanya lagi, fasa itu merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Tambah beliau, peraturan baharu itu juga terpakai kepada semua premis terutamanya dalam bulan Ramadan kelak.

“Sewaktu bulan Ramadan, kita tahu ramai bersahur di luar, di restoran-restoran jadi oleh kerana itu restoran dibenarkan buka sehingga 24 jam, tertakluk syarat lesen, maka ia mempermudahkan umat Islam untuk bersahur di restoran,” katanya.

Beliau berkata pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan tetapi dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan ramai.

“Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu, pengunjung,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment