Ceramah tanpa pelitup muka

PONTIAN 6 Mac – Kementerian Kesihatan sudah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kelonggaran kepada penceramah, untuk tidak memakai pelitup muka ketika memberi ucapan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) itu hanya dibenarkan, sekiranya terdapat penjarakan fizikal yang sesuai dalam aktiviti berkempen.

Beliau telah membincangkan perkara ini dengan Bahagian Kawalan Penyakit dan jika ada penjarakan fizikal yang sesuai, penceramah yang sedang memberi ucapan sahaja dibenarkan untuk membuka pelitup muka.

SPR sebelum ini menetapkan ceramah, syarahan atau kempen dibenarkan diadakan di dalam serta di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang.

Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dapat diamalkan dan semua perlu memakai pelitup muka.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan 12 Mac ini manakala undi awal pada 8 Mac.

Related posts

Leave a Comment