BERAKAS 6 Mac – Tiga kematian dan 4,005 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Brunei Darussalam hari ini, berbanding lima orang meninggal dunia dan 4,095 kes yang direkodkan semalam.
Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, satu kematian dikaitkan dengan Covid-19, satu tiada kaitan dan satu kes lagi masih dalam siasatan menjadikan jumlah keseluruhan 70.
Katanya, daripada 4,005 kes itu, sembilan dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi manakala lapan dalam Kategori 5, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.
Bercakap pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19, beliau berkata, daripada kes baharu itu, 3,419 adalah hasil pengesanan daripada ujian ART dan 586 adalah hasil daripada 4,482 ujian makmal RT-PCR.
Jumlah keseluruhan kes ini adalah 88,849 di mana 38,243 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Sementara itu, sebanyak 3,566 kes sembuh dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah kes pulih 50,112 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 38,594.
Pada masa ini kata Dr Isham , kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 9.8 peratus dengan 351 kes aktif ditempatkan di pusat pengasingan.
Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga semalam, sebanyak 56.5 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.
