Kluster asrama sekolah cetus 68 kes

KOTA KINABALU 22 Feb. – Sebanyak 52 kes baharu direkodkan Kluster Kuala Tongod menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68 kes positif, kata jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun.

Mereka terdiri daripada 68 penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod dengan kes indeks adalah seorang remaja tempatan, 18, yang juga pelajar yang tinggal di asrama SMK Tongod.

Menurut Masidi, kluster yang berkaitan dengan institusi jenis pendidikan itu telah dikesan mulai 8 Februari lalu menerusi saringan bergejala kluster indeks.

Dalam kenyataannya, beliau berkata semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya manakala kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin.

Menurut Masidi, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak empat angka iaitu sebanyak 4,406 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 317,652 kes.

Sebanyak 12 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lima kes di Kota Kinabalu, dua kes di Tuaran dan masing-masing satu kes di daerah Sandakan, Kuala Penyu, Penampang, Kota Marudu dan Beluran.

Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 3,329 menjadikan jumlah kumulatif 265,722 orang.

Sebanyak 2,594 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,310 orang di hospital, 1,136 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 151 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)dan seorang di fasiliti swasta.

Related posts

Leave a Comment