Tiada PKPD walaupun zon merah

SEREMBAN 22 Feb. – Walaupun semua daerah di negeri dalam zon merah berikutan peningkatan kes Covid-19, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau sekatan sektor ekonomi dan sosial.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, ketika memberi jaminan itu berkata pelaksanaan PKPD mungkin hanya akan dikuatkuasakan secara bersasar terhadap mana-mana lokaliti atau kawasan tertentu yang telah dikenal pasti.

Katanya, ia sebagai langkah mitigasi, kawalan dan pencegahan di kawasan terbabit sahaja tanpa perlu membabitkan keseluruhan negeri.

Menurut beliau, kebanyakan individu yang didapati positif Covid-19 berada dalam kategori 1 dan 2 tanpa gejala atau gejala ringan manakala kemasukan pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi kategori 3, 4 dan 5 masih lagi terkawal.

Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan stesen kuarantin di negeri ini juga masih berupaya untuk menampung bilangan pesakit bagi mendapatkan rawatan atau kuarantin.

Katanya, apa yang penting adalah kesedaran masyarakat terutamanya di negeri ini untuk sentiasa cakna dan prihatin terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), protokol kesihatan betul dan aspek kawalan kendiri ketat.

Dalam satu kenyataan, Aminuddin berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) juga sudah bermula di negeri ini.

Beliau berkata, sebagai ibu bapa atau penjaga yang prihatin terhadap aspek keselamatan, kesihatan dan kelangsungan pendidikan anak di sekolah rendah, mereka perlu bersikap proaktif serta segera mendapatkan suntikan vaksin.

Katanya, ia penting bertujuan melindungi dan memastikan keselamatan anak isentiasa dititik beratkan dan diberikan keutamaan.

Related posts

Leave a Comment