Brunei Darussalam lepasi 3,000 kes

BERAKAS 22 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di Brunei Darussalam terus melonjak melepasi angka 3,000 hari ini apabila merekodkan 3,251 kes, yang tertinggi dicatatkan setakat ini.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, dengan tambahan kes baharu itu, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan Brunei Darussalam setakat ini adalah sebanyak 41,049.

Katanya, satu kematian pesakit Covid-19 juga dilaporkan disebabkan beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorian sebagai kematian akibat Covid-19. Ini bermakna jumlah kematian kekal 61.

Sebanyak lapan kes Covid-19 sekarang berada dalam Kategori 4, iaitu mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi manakala tiada kes dalam Kategori 5 atau yang memerlukan rawatan intensif.

Bercakap pada sidang media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam petang ini, Dr Md Isham menjelaskan, daripada jumlah kes baharu itu, 2,521 adalah hasil pengesanan daripada Ujian Pantas Antigen (ART)

Manakala 730 kes lagi adalah hasil daripada 5,590 ujian makmal RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.

“Sementara itu, 972 kes disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 21,555 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 19,382 kes,” katanya.

Menurut Dr Md Isham, ketika ini , kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 8.8 peratus manakala 147 kluster aktif sedang di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan.

Sebanyak 209 kes aktif sedang ditempatkan di Pusat-pusat Pengasingan berkenaan dan seramai 19,173 sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga 21 Februari, sebanyak 51.9 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di negara ini telah menerima tiga dos manakala kadar sau dan dua dos vaksin masing-masing melebihi 94 peratus.

Dalam pada itu, berikutan gelombang ketiga pandemik itu, Kementerian Kesihatan akan mengadakan sidang media pada setiap hari bekerja bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat terkini situasi pandemik itu.

Related posts

Leave a Comment