346 kluster pendidikan masih aktif

PUTRAJAYA 22 Feb. – Sebanyak 367 kluster pendidikan dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dalam tempoh awal tahun ini hingga Sabtu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memberitahu, trend mingguan kluster pendidikan menunjukkan peningkatan ketara daripada Minggu Epidemiologi (ME) 1/2022 hingga ME 7/2022.

“Terdapat trend penurunan pada ME 5/2022 disebabkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina, namun trend ini dilihat kembali meningkat pada ME 6/2022 dan ME 7/2022 dengan peningkatan kes ketara di seluruh negara,” katanya hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau bagaimanapun memberitahu, 21 kluster itu sudah tamat, manakala 346 lagi masih aktif di mana setakat 19 Februari lalu, sebanyak 232 kluster membabitkan sekolah menengah dan 25 sekolah rendah masih aktif.

Negeri yang melaporkan kluster pendidikan paling tinggi adalah Kelantan dengan 54 kluster, diikuti Selangor (49), Pahang (38), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (37) dan Sabah (34).

Siasatan mendapati 328 kluster atau 89.4 peratus dengan kes indeks adalah pelajar, 31 (8.5 peratus) adalah guru atau pensyarah, enam (1.6 peratus) kakitangan sokongan pusat pendidikan dan dua lagi (0.6 peratus) dengan kes indeks keluarga.

Majoriti kes dilaporkan adalah kategori bergejala ringan atau tiada gejala dengan pecahan 12,579 kes (76.4 peratus) dalam kategori 2; 3,850 (23.4 peratus) kategori 1 dan 35 (0.2 peratus) kategori 3 serta 4 dengan semua kes sudah mendapatkan rawatan dan stabil.

Dr. Noor Hisham berkata, peringkat sekolah menengah melaporkan kluster paling tinggi, iaitu sebanyak 232 kluster diikuti kolej (68), sekolah rendah (25), universiti (22) dan prasekolah (20).

Kesemua 257 sekolah terbabit adalah di bawah pelbagai agensi, termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat dan maahad tahfiz.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan punca utama jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kalangan warga pendidikan disebabkan pelbagai perkara, termasuk ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam dan luar waktu pengajian, terutama di asrama atau di rumah sewa pelajar.

Related posts

Leave a Comment