8,940 pekerja KKM dijangkiti

PUTRAJAYA 17 Feb. – Setakat semalam, seramai 8,940 pekerja penjagaan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangkiti Covid-19 tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata bilangan itu meningkat mendadak daripada 284 kes pada minggu pertama kepada 3,343 kes pada minggu keenam.

Katanya, berikutan itu sehingga semalam, sejumlah 5,711 pekerja kesihatan didapati tidak dapat hadir bekerja kerana positif Covid-19, manakala 3,119 lagi tidak hadir bekerja berikutan kontak rapat.

Secara keseluruhannya, kira-kira 3.1 peratus daripada jumlah tenaga kerja di KKM tidak dapat hadir bekerja.

“Walaupun bilangan pekerja kesihatan dijangkiti Covid-19 meningkat mendadak, namun kira-kira 80.3 peratus daripada mereka sudah mendapatkan dos penggalak masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan secara amnya kira-kira 93.3 peratus daripada keseluruhan pesakit Covid-19 menjalani kuarantin diri di rumah berikutan pemantauan dijalankan secara digital.

Bagi mengelakkan berlaku kekangan kepada tugasan di lapangan, KKM telah mengambil langkah untuk memastikan gangguan yang minimum terhadap perkhidmatan dan menjaga pesakit Covid-19 ini dan juga pesakit bukan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment