Akta baharu larang merokok

PUTRAJAYA 17 Feb. – Kerajaan akan memperkenalkan akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, akta baharu tersebut akan dapat mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau

Ini kerana pengambilannya adalah faktor utama kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser dengan kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok dianggarkan RM132.7 juta.

“Bermakna jika anda berumur 17 tahun dan Parlimen meluluskan akta itu, anda tidak lagi dapat membeli sebatang rokok di negara ini,” katanya ketika ketika merasmikan sambutan Hari Kanser Peringkat KKM secara maya hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan akta baharu ini akan mengurangkan jumlah perokok baharu, seterusnya akan tiba satu masa, tiada lagi perokok di Malaysia.

Dalam pada itu, Khairy berkata, terdapat peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus di negara ini iaitu 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Menurut Khairy, dianggarkan setiap seorang daripada 10 lelaki dan setiap seorang daripada sembilan wanita berkemungkinan akan mendapat penyakit kanser.

Tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia dalam kalangan lelaki ialah kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), paru-paru (14.8 peratus) dan prostat (8.1 peratus).

Sementara dalam kalangan wanita adalah kanser payudara (33.9 peratus), dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Kematian  akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu 11.56 peratus.

Related posts

Leave a Comment