8 pakej Pan Borneo dibuka berperingkat

KOTA KINABALU 19 Okt . – Lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 177 kilometer (km) akan dibuka secara berperingkat sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan rakyat menikmati manfaat projek itu lebih awal.

Timbalan Ketua Menteri I, Dr Joachim Gunsalam berkata, pada masa yang sama, kerja pembinaan di bahagian lain diteruskan.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata langkah itu turut disusuli tindakan penambahbaikan oleh kerajaan negeri susulan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 2 pada 5 Oktober lalu.

“Fokus kami sekarang ialah penyelesaian supaya rakyat dapat menggunakan jalan yang lebih baik secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan.

Joachim berkata, enam pakej sepanjang 135.8km sudah menerima Sijil Pendudukan Separa (CPO), merangkumi laluan Sindumin ke Beaufort dan Bongawan serta Putatan ke Tebobon dan Moynod ke Sapi Nangoh.

Setakat 25 September lalu, empat pakej sepanjang 41.5km sudah siap sepenuhnya, iaitu WP05 Papar ke Donggongon, WP15 Tawau ke Semporna, WP21 Lahad Datu Bypass dan WP27 Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32.

Joachim berkata lapan pakej sepanjang 161.8km disasarkan menerima Sijil Siap Praktikal (CPC) pada 2027, sebagai pengesahan rasmi bahawa keseluruhan kerja pembinaan sudah selesai.

Katanya, angka kemajuan 11.4 peratus yang dinyatakan dalam LKAN merujuk empat daripada 35 pakej diserahkan sepenuhnya setakat 31 Mac lalu.

“Kemajuan fizikal di tapak setakat 25 September lalu mencapai 89.54 peratus bagi Fasa 1A, 38.87 peratus bagi WP09 dan 24.76 peratus bagi Fasa 1B. Status tapak bebas halangan pula mencatatkan 99.79 peratus bagi Fasa 1A, 96.8 peratus bagi WP09 dan 79.43 peratus bagi Fasa 1B,” katanya.

Mengenai kelewatan, Joachim berkata ia antaranya disebabkan perubahan model pelaksanaan daripada Rakan Penyampaian Projek (PDP) kepada kaedah konvensional yang berkuat kuasa pada 22 September 2019, sekali gus memerlukan proses perolehan dan kontrak baharu.

Berhubung teguran audit mengenai arahan perubahan kerja bernilai RM513.99 juta yang melebihi had kuasa kelulusan, Joachim berkata pihaknya akur dan menyokong penambahbaikan mekanisme kelulusan supaya proses berkenaan lebih jelas serta pantas tanpa menjejaskan tadbir urus.

Nnn

Related posts

Leave a Comment