9,420 kes baharu Singapura

SINGAPURA 13 Feb. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan empat kematian dan 9,420 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari Ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 469,495 kes dan 897 kematian.

Kes baharu yang direkodkan hari ini terdiri daripada 9,195 jangkitan tempatan dan 225 kes import, kurang sedikit berbanding 10,505 yang direkodkan semalam.

Menurut MoH, terdapat 7,071 kes baharu Protokol 2 terdiri daripada 29 kes import dan 7,042 jangkitan tempatan.

(Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah).

Sebanyak 2,349 kes disahkan menerusi ujian PCR iaitu 2,153 adalah jangkitan tempatan manakala 196 adalah kes import.

Seramai 1,272 pesakit masih dirawat di hospital, naik sedikit berbanding 1,206 semalam di mana 162 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 24 dipantau rapi di ICU sementara 10,133 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai program vaksinasi, sebanyak 93 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment