Singapura catat 10,505 kes baharu

SINGAPURA 12 Feb. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 10,505 kes baharu Covid-19 yang meliputi 10,325 jangkitan tempatan dan 180 kes import menjadikan jumlah keseluruhan 460,075 kes.

Lapan lagi individu dilaporkan meninggal dunia yang membawa kepada jumlah keseluruhan 893 kematian.

Menurut MoH, 7,818 adalah kes baharu Protokol 2, terdiri daripada 42 kes import dan  7,776 jangkitan tempatan.

Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 2,687 kes disahkan menerusi ujian PCR di mana 2,549 adalah jangkitan tempatan manakala 138 adalah kes import.

MoH juga memaklumkan kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 1.54, turun daripada 1.74 pada 11 Februari.

Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

Sementara itu 1,206 pesakit masih dirawat di hospital, naik sedikit berbanding 1,205 semalam di mana 151 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 22 dipantau rapi di ICU.

Seramai 9,521 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Related posts

Leave a Comment