Penjawat awam Kanada wajib vaksinasi

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau melancarkan vaksinasi mandatori sebagai komitmen kerajaan bagi melindungi penduduk termasuk golongan penjawat awam dan pekerja sektor pengangkutan melalui vaksinasi Covid-19.

Menurut Trudeau, prosedur operasi standard (SOP) perjalanan dan vaksinasi wajib bagi penjawat awam persekutuan adalah yang paling ketat di dunia.

Melalui dasar itu, kakitangan awam termasuk anggota polis akan diminta mengesahkan status vaksinasi mereka melalui portal dalam talian selewat-lewatnya pada 29 Oktober ini.

Mereka yang gagal berbuat demikian atau belum mengambil vaksin sepenuhnya akan diberi cuti tanpa gaji seawal 15 November.

Di samping itu, majikan di sektor pengangkutan pula termasuk pengangkutan udara, kereta api dan laut diberi tempoh sehingga 30 Oktober ini bagi memastikan setiap pekerja mereka divaksinasi.

Berkuat kuasa pada 30 Oktober juga, pelancong yang berlepas dari lapangan terbang Kanada, dan yang menaiki kereta api VIA Rail dan Rocky Mountaineer, akan diminta melengkapkan vaksin sepenuhnya dengan pengecualian yang terhad.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan industri dan rakan kongsi utama untuk menetapkan syarat vaksin yang ketat untuk kapal pesiar sebelum bermulanya  musim pelayaran 2022.

Menurut Trudeau, sekiranya orang ramai melakukan perjarakan yang betul dan mendapatkan suntikan vaksin, maka mereka berhak mendapat kebebasan untuk selamat daripada Covid-19.

Katanya, sejak awal pandemik Covid-19, kerajaan memberi komitmen untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat  Kanada.

“Itulah sebabnya kami bekerja keras untuk memberikan vaksin yang selamat dan berkesan dan menetapkan tahap pemulihan yang memberi manfaat kepada semua orang.,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih  kepada berjuta-juta penduduk Kanada yang

mendapatkan vaksin, dan setakat ini 82 peratus penduduk yang layak telah divaksinasi sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment