Lata Mangeshkar meninggal dunia

MUMBAI: Penyanyi legenda India, Lata Mangeshkar, 92 meninggal dunia di Mumbai hari ini, kata Perdana Menteri, Narendra Modi.

Seniwati legenda yang terkenal kerana merakamkan lagu-lagu latar dalam ribuan filem Bollywood terlibat dalam industri itu selama tujuh dekad.

Berikutan itu, India mengumumkan seluruh negara akan berkabung selama dua hari selain bendera juga akan dikibar separuh tiang.

Pada masa yang sama kesemua acara hiburan ditangguhkan sebagai menghormati pemergian ikon seni yang disegani itu.

Bagaimanapun, sebab kematian mendiang yang juga ikon seni India itu belum diumumkan.

Penghibur itu dilaporkan dimasukkan ke Mumbai’s Breach Candy Hospital pada 8 Januari selepas disahkan positif Covid-19.

Selama beberapa minggu penghibur itu diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu Modi merupakan antara personaliti yang begitu terkesan dengan pemergian penghibur yang telah menyumbangkan jasa yang sangat besar pada industri perfileman India.

Dalam hantaran di akaun Twitternya, beliau menterjemahkan perasaannya sebaik mendapat khabar pemergian mendiang Mangeshkar.

“Peritnya sehingga saya kehilangan kata-kata,” tulis Modi yang berkata mendiang meninggalkan khazanah yang terlalu berharga kepada negara sepanjang penglibatannya sebagai anak seni.

Dilahirkan pada 1929, mendiang Mangeshkar memulakan kerjaya seninya pada usia remaja dan sepanjang 73 tahun bergelar penyanyi, beliau telah merakamkan anggaran 15,000 buah lagu dalam 36 bahasa.

(FOTO FB MODI)

Related posts

Leave a Comment