SEPANG 18 Sept. – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP esok akan memutuskan pendirian parti berhubung pengampunan bersyarat kepada Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, parti akan turut membincangkan tindakan susulan yang akan diambil berikutan keputusan Lembaga Pengampunan itu yang membolehkan Najib menjalani tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Dalam satu kenyataan, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, DAP pada masa yang sama menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah,” katanya.
Terdahulu Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Loke dalam pada itu menjelaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Lembaga Pengampunan telah menyampaikan pendirian dan pandangan selaras dengan prinsip perjuangan DAP.
“Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau, pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara,” katanya.
Loke berkata, skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara yang telah mengaitkan nama Malaysia dengan kleptokrasi di mata dunia, mencemarkan imej negara serta menghakis kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap institusi pentadbiran negara.
Katanya, sabitan terhadap Najib dalam kes melibatkan 1MDB merupakan kesalahan yang telah diputuskan mahkamah serta kesan kewangan penyelewengan tersebut masih ditanggung oleh negara dan rakyat sehingga hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada 13 September 2026, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar oleh Kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion.
Katanya, DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1MDB dengan memperjuangkan supaya penyelewengan ini disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa untuk melalui proses undang-undang yang bebas dan adil.
“Kami juga tidak melupakan bahawa kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB merupakan antara faktor utama yang membawa kepada perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan DAP,” katanya.
Nnnn
